Sunday, 19 April 2020

HIKMAH DARI ALLAH




Setiap yang terjadi adalah kehendak Allah. Semua yang Allah cipta tiada yang sia-sia. Dalam surah Ali Imran 3:191 Allah berfirman, “Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia.” Setiap penciptaan Allah dapat kita lihat dari dua sisi. Pada satu sisi ianya hikmah dan mungkin musibah. Seperti Covid 19 yang sedang kita harungi sekarang. Wabak ini mungkin hikmah kerana terlalu banyak kebaikan darinya. Selama ini mungkin warga perubatan tidak begitu diberi nilai tinggi. Doktor sangat ramai jumlahnya di mana-mana. Jururawat adalah anggota perubatan yang dilihat biasa-biasa sahaja. Pembantu hospital pun sama juga. Nah sekarang mereka menjadi sangat diberi penghargaan. Nilai doktor, jururawat dan pembantu hospital naik melambung. Mereka yang sudah bersara sekalipun diberi pengiktirafan untuk menyumbang semula tenaga dan kepakaran mereka. Selepas ini doktor menjadi hot personnel di merata tempat di dunia. Melebihi selebriti yang selama ini disanjung-sanjung. Alhamdulillah doktor dan jururawat Malaysia akan sentiasa berada di persada dunia.

Yang pasti, kerjaya perubatan akan melonjak permintaannya. Pengiktirafan tinggi akan diberi kepada mereka. Jangan terkejut bahawa mereka bukan sahaja akan menerima berbagai ganjaran malah mereka sewajarnya menikmat tangga gaji yang lebih tinggi.  Kedudukan yang lebih tinggi. Status yang lebih di atas. Jika dahulu mereka dipandang dengan dua mata, sekarang orang memandang mereka dengan teropong dekat, bukan jauh. Doktor muda akan diintai-intai untuk dijadikan menantu. Jururawat apa kurangnya. Mereka yang ikhlas akan Allah balas dengan lebih baik. Lebih dari yang djangka dan dimimpikan. Lebih baik dari yang kelihatan secara fizikal. Semoga mereka semua dalam perlindungan Allah. Tugas dan pengorbanan masa, tenaga dan hati nurani mereka hanya Allah yang akan membalasnya.

Di luar sana, Covid19 merehatkan manusia dan kemungkarannya. Menghentikan sifat pemusnahnya.  Menurunkan lahap zalimnya. Menghalang manusia yang tamak halobanya sukar dibendung. Menebat hawa nafsu yang selama ini tidak mengerti batas. Alam berehat dari tangan-tangan ganas manusia. Lalu alam memperbaiki dirinya. Udara kembali bersih. Ozon kembali menebal. Kepanasan global mulai menurun. Kutub Utara dan Kutub Selatan kembali kepada fitrahnya. Menebal semula dengan ais. Sungai dan aliran air yang lain semakin bersih. Pepohon lebih mudah berfotosintesis. Haiwan lebih mudah membiak. Rerumput kurang yang memijak. Walaupun di bawah letaknya tidak ramai yang menginjaknya. Mereka yang di tingkat atas tentu lupa rasanya telapak kaki menjejak tanah. Tetapi percayalah bahawa bumi juga turut berehat.

Kita diciptakan Allah untuk memakmurkan alam. Memberi kebaikan. Menjana amal. Mendatangkan manfaat kepada semua makhluk. Malangnya kita kehilangan sentuhan kemanusiaan. Sentuhan kehambaan. Kita merasa besar. Merasa berkuasa. Merasakan semua di sekeliling adalah dalam genggaman kita. Bagaimana kita boleh lupa bahawa kita hanya menumpang di alam yang fana ini. Transit dalam perjalanan jauh menuju akhirat. Kita merasa penting tanpa meletakkan diri kita antara makhluk Allah yang lain yang mungkin lebih penting. Kita tidak menjadikan bumi ini sebagai hamparan kohabitasi kita dengan makhluk lain. Kita rasa kita raja. Kita rasa kita tuan. Pada hal kesemua yang Allah ciptakan di sekeliling kita adalah sistem sokongan untuk kita hidup selesa di sini. Tuan atau raja tiada maknanya apabila kemusnahan akan berlaku. Akibatnya menimpa semua kita. Manusia yang banyak lupa sifatnya merosakkannya satu demi satu. Kita rosakkan sistem sakongan kita.

Gunung dan bukit yang menjadi pasak bumi ditarah dan diratakan. Kita cemarkan udara. Kita cemarkan air. Kita cemarkan makanan. Kita cemarkan fizikal kita. Dari zahir hingga rohani, psikologi dan spiritual kita semuanya berada dalam tahap cemar. Kita hilang harapan untuk kekal aman dan tenteram. Aman dan sejahtera. Segala nikmat yang Allah sediakan untuk kita kesemuanya hendak kita musnahkan. Hanya untuk mendapat untung segera tetapi tidak panjang untuk anak dan cucu kita akan datang. Kita merosakkan habitat mereka. Kita musnahkan hamparan permaidani yang berupa bumi. Kemusnahan yang memusnahkan diri kita sendiri dan diri orang lain yang ada di sekeliling kita.

Hari ini kita berehat dari menjadi pemusnah. Bagi Allah mudah sahaja. Allah Yang Maha Mengetahui mengikat tingkah laku kita dari menzalimi diri kita sendiri. Allah kurung kita di rumah masing-masing. Gunung dan bukit menghijau semula. Air megalir jernih. Udara suci dari unsur cemar. Manusia Allah bersihkan dari berbuat noda. Kita hanya melakukan yang perlu sahaja. Yang wajib dan sunat dilebihkan untuk Allah yang selalu kita alpakan. Hari ini suara azan berkumandang di mana-mana. Malah di tempat yang selama inti dihalang. Yang selalu dicemuh tetapi sekarang ditunggu-tunggu iramanya.  Tiada lagi prasangka dan iri agama. Al-Quran diperdengarkan di telinga bukan Muslim. Malah di gereja dikumandangkan. Hari ini al-Quran ditadabbur setiap jam, setiap hari. Al-Quran dicari, dibeli dan diinfaqkan.

Allah melebihkan Islam.
Azan dilaungkan di mana-mana tanpa sekatan. Hilang kebencian.
Allah mengangkat al-Quran, wahyunya yang paling agung. Pembacanya dicari di mana-mana.
Allah kembalikan kesemua ciptaannya kepada fitrahnya.
Kita perlu betulkan persepsi kita mengenai alam sekitar kita. Bukan kita yang dominan tetapi hanya bahagian kecil yang wajar berkompromi. Subset dari set yang lebih besar saiznya. Jauh lebih besar.
Allah jadikan kita hamba dan bukan menghambakan makhluk yang lain.
Kekallah menjadi hamba yang mendengar dan taat dan sentiasa dalam pengampunan Allah.

Sisi kedua wabak Covid 19 ini dilihat sebagai musibah. Bagi yang beriman wabak ini adalah juga kasih sayang Allah kepada kita. Peringatan dariNya. Kita kembali kepadaNya. Allahlah segala-galanya yang kita cintai. Bahawa kita akan kembali kepadaNya.  Wabak ini hanya asbab untuk kita muasabah diri. Yang telah berlalu untuk kita banyak bertaubat. Yang sedang kita hadapai untuk kita perbaiki diri. Yang akan datang banyaklah berdoa untuk kembali kepadaNya dalam keadaan redho dan diredhai. Allahuakbar.  

Wednesday, 23 April 2014

Makluman

Pembaca yang saya hormati. Address blog ini berpindah ke mdyusofjamar.blogspot.com. Silkmati Sila nikmati nukilan-nukilan terbaru yang disajikan. Terima kasih.